RSS

MENDOMINASI DUNIA DENGAN INOVASI

18 May

TOPIK: MENDOMINASI DUNIA DENGAN – INOVASI

SEMBANG
INOVASI…Mengapa 7 perkataan ini begitu hebat dicanang kini? Sejauhmana kesedaran dan pemahaman anda mengenainya? Apa pentingnya dan hebatnya inovasi ini?

Definisi Inovasi – Istilah inovasi berkait rapat dengan perkataan seperti ciptaan, kreativiti dan imaginasi. Inovasi bermaksud sesuatu yang baru diperkenalkan atau dimulakan. Dengan kata lain ia bermaksud menghasilkan sesuatu ciptaan yang berbeza daripada kebiasaaan dengan idea baru yang mencorakkan perubahan.

Maksudnya Inovasi adalah sesuatu penemuan kekuatan baru yang terhasil dari mereka-mereka yang terkehadapan / lebih maju dari kita hasil pengalaman mereka mendepani arus perjalanan kehidupan.

Kini, Bulan May Tahun 2011. Lihat, amati, perhati dan teliti apa yang berlaku disekeliling anda dan dunia. Kepantasan arus perubahan dan perkembangan ekonomi seharusnya memberi semangat dan azam baru, khususnya kepada para usahawan untuk berubah dan melakukan anjakan dalam kehidupan dan perniagaan. Selain itu, diri mereka sendiri perlu melakukan inovasi dalam segenap aspek kehidupan untuk mencapai cita-cita yang diimpikan.Di zaman ini inovasi menentukan siapa yang berjaya atau pun tidak. Produk dan barangan yang inovatif yang terhasil dari proses inovasi akan mendahului yang lain. Kelebihan sesuatu produk yang inovatif boleh mengubah sesebuah industri. Idea yang kadang kala kecil dan dipandang ringan namun setelah melalui inovasi yang betul menjadikannya hebat dan berkesan. Ya…Idea saya mungkin gila,tetapi manusia tidak akan sampai ke Bulan jika tidak memikirkan idea gila..

Hari ini inovasi bukan sahaja menjadi kunci dan rahsia kejayaan bagi sesebuah syarikat, malah ia juga berperanan melonjakkan negara-negara yang dahulunya kecil dan mundur menjadi negara maju. Lihat sahaja negara-negara seperti Singapura, Finland, Denmark dan Ireland yang suatu masa dahulu merupakan negara-negara kecil namun meningkat maju dengan mendadak dan menduduki carta negara maju dengan keupayaan inovasi dan pembaharuan yang dilakukan oleh mereka. Paling dekat Singapura, rasanya semua orang tahu siapa lebih maju sedangkan Malaysia capai merdeka dahulu berbanding Singapura. Malaysia kaya dengan segala macam sumber ekonomi berbanding Singapura yang serba kekurangan. Tetapi, mengapa mereka lebih maju,rakyatnya lebih kaya dan makmur berbanding kita rakyat Malaysia? Jawapannya: Mereka benar-benar tahu kekurangan/kelemahan diri dan negara lalu mahu tidak mahu mesti berusaha keras,mengembeling usaha bersama-sama melakukan perubahan & inovasi terhadap segala aspek kehidupan untuk mencapai kemakmuran rakyat dan negara.

Bagi negara membangun, cabaran utama untuk kekal bersaing menjadi negara maju ialah melalui inovasi. Ia perlu dipastikan supaya berada di tahap yang terbaik. Falsafah inovasi bagi sesebuah negara membangun perlu menjadi tulang belakang yang dapat mengubah sistem pentadbiran, halatuju sains dan teknologi serta keupayaan saintis dan penyelidik di dalam negara tersebut. Negara kita Malaysia juga tidak terkecuali. Dunia di masa akan datang amat bergantung kepada keupayaan untuk melakukan inovasi dalam setiap aspek bagi mengekalkannya di tahap terbaik. Sepuluh tahun yang lalu, internet baru sahaja mula berkembang di Malaysia. Pada waktu itu masih belum ramai individu yang memiliki talian internet melainkan di pejabat-pejabat kerajaan atau sektor industri. Teknologi internet merupakan satu contoh inovasi yang mengubah dunia pada hari ini. Internet boleh dianggap sebagai sungai besar yang mengalirkan sebarang ilmu dan maklumat berguna atau pun sekadar sampah sarap di dalamnya. Sebelum teknologi internet dapat dinikmati oleh seluruh penduduk di dunia, ia merupakan teknologi yang digunakan oleh pihak ketenteraan Amerika sekitar tahun 1940-an sewaktu perang dunia kedua untuk menghubungkan jaringan sistem pertahanan mereka. Selepas perkembangan pesat internet bermula lewat tahun 1990 an, banyak produk-produk berasaskan web dimajukan dan dijadikan alat untuk menghubungkan masyarakat di seluruh dunia. Bayangkan dunia pada hari ini tanpa kemudahan internet seperti 15 tahun yang lampau, tentunya kehidupan sangat berbeza dengan apa yang kita alami kini. Internet memenuhi segala-galanya dalam dunia moden hari ini yang merangkumi aspek penyebaran maklumat, kemudahan emel, hiburan, tayangan video, audio dan perniagaan.

Lihat sahaja bagaimana enjin carian internet terkenal Google mendominasi dunia. Google yang mula menemui pengguna pada tahun 1998 memperkenalkan kaedah pencarian maklumat di internet dengan cara yang begitu unik melalui inovasi dan kreativiti dua anak muda dari Stanford University, California iaitu Sergei Brin dan Larry Pages. Kedua mereka ini menjadi jutawan ketika usia belum mencapai 30 tahun. Sehingga kini, Google terus berkembang pesat dan terus melakukan inovasi dengan memperkenalkan produk-produk terbaru mereka. Majalah Forbes melaporkan bahawa Google merupakan sebuah syarikat teknologi berasaskan internet yang paling pesat berkembang dan paling berpengaruh dalam sejarah dunia.

Ketika diwawancara dalam sebuah program temubual internet, pemilik Google Sergei Brin dan Larry Pages menyatakan mereka tidak mencipta sesuatu yang baru, tetapi melakukan inovasi terhadap produk yang sedia ada. Sebelum kemunculan Google, enjin carian internet yang paling terkenal ialah Yahoo!, Excite dan Altavista.

Terkini, generasi internet terus dihidangkan dengan aplikasi laman interaksi sosial yang begitu fenomena pada hari ini iaitu Facebook. Ia dicipta oleh seorang remaja iaitu Mark Zuckerberg ketika masih bergelar penuntut di Harvard University. Bermula pada tahun ia dilancarkan iaitu pada tahun 2004 sehingga kini ia mencatatkan bilangan pengguna aktif yang berjumlah 350 juta orang. Zuckerberg kini menjadi jutawan muda hasil dari pelancaran laman Facebook tersebut. Ketika ditanya tentang idea ciptaannya, beliau menegaskan bahawa ia terhasil daripada keinginan untuk melakukan inovasi terhadap laman-laman web interaksi sosial yang sedia ada seperti Friendster, Orkut, MySpace dan sebagainya. Salah satu lokasi yang paling terkenal dan subur melahirkan syarikat-syarikat gergasi dunia yang kreatif dan inovatif dalam bidang teknologi, komunikasi dan teknologi maklumat ialah Silicon Valley di California. Di sanalah tempat berkembangnya syarikat gergasi dunia seperti Oracle, Sun Microsystem, Intel, AMD, Yahoo!, Cisco, Apple, eBay, Youtube, Twitter, Google, Facebook dan sebagainya. Kejayaan Silicon Valley yang muncul sejak lebih 50 tahun yang lampau menjadi contoh dan teladan kepada negara-negara lain yang ingin membangunkan ekonomi mereka berasaskan inovasi dan kreativiti.

Google dan Facebook adalah dua contoh di antara puluhan produk-produk yang tercipta hasil dari kreativiti dan inovasi di dalam dunia internet. Dalam bidang-bidang lain seperti sistem pengangkutan, perniagaan, penyelidikan dan penyampaian maklumat manusia terus melakukan inovasi bagi memperbaiki kualiti dan produk sedia ada.

Maksudnya mereka di Barat yang lebih maju itu tidak pening-pening mencipta sesuatu perkara baru,tetapi hanya menambah baik segala kelemahan yang ada dalam sesuatu itu !…Dengan hanya sedikit inovasi dan perubahan, mereka dapat mendominasi sesuatu perkara itu!..Ini sesuatu yang cukup-cukup penting untuk diri kita tahu.
Malaysia berada di landasan yang tepat apabila kerajaan telah menjadikannya suatu dasar dan mengisytiharkan 2010 sebagai Tahun Inovasi Negara. Tetapi yang lebih penting, diri anda sendiri adakah melakukannya ataupun tidak untuk memajukan lagi seluruh kehidupan anda. Ayuh semua, lakukan inovasi dalam segala aspek kehidupan anda; diri sendiri, kehidupan, keluarga, perniagaan anda.

SUMMARY & MORALITY

“Kejayaan adalah satu proses penambahbaikan yang sentiasa berterusan untuk mencapai kesempurnaan”….bijakniaga.worspress.com

Innovation is change that creates a new dimension of performance Peter Drucker (Hesselbein, 2002)

Dibawah sedikit video berkenaan inovasi untuk menambah pemahaman anda.

Advertisements
 
Leave a comment

Posted by on 18 May 2011 in Bijak Niaga

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: